Antropologi Sosial, Kesamaan dan Kelainan budaya
Buku ini mengajak kita mengembara. Pengembaraan yang akan dilakukan itu, pada hemat pengarang, sangat bermanfaat sebagai satu pengalaman hidup pada diri seseorang. Tentu sekali perjalanannya sangat jauh, dan luas pula jelajahan teluk rantaunya. Pembaca akan dibawa dari hutan lembab Amazon hingga ke gurun beku Artik; dari pencakar langit di Manhattan ke rumah tanah liat orang Sahel; dari perkampungan asli di pergunungan New Guinea ke kawasan bandar di benua Afrika moden.
Perjalanan
itu juga sangat jauh dalam erti kata yang lain, kerana tumpuan utama
antropologi sosial dan antropologi budaya ialah masyarakat secara
menyeluruh. Justeru itu antropologi cuba menghuraikan hubungkait
antara pelbagai aspek kemasyarakatan dalam kewujudan kita sebagai
insan sosial. Misalnya, apabila kita mengkaji sistem ekonomi tradisional
orang Tiv di Nigeria Tengah, kita juga, pada masa yang sama, cuba
mengetahui bagaimana sistem ekonomi mereka itu berkait pula dengan
perkara-perkara lain dalam kehidupan sosial mereka. Tanpa melihat
kaitan tersebut dengan teliti, sistem ekonomi itu agak sukar difahami
oleh antropologis. Misalnya, kita tahu yang secara tradisionalnya
orang Tiv tidak menganggap tanah sebagai barang untuk dijual beli,
dan kelazimannya mereka tidak menggunakan mata wang sebagai cara
untuk melunaskan bayaran. Justeru itu kita mesti memahami kenyataan
ini terlebih dahulu, kalau tidak agak sukar untuk kita memahami
dengan jelas bagaimana orang Tiv bertindak apabila mereka berhadapan
dengan perubahan ekonomi yang berlaku sewaktu masyarakat mereka
berada di bawah kuasa penjajah.
Antropologi
cuba menghuraikan bagaimana terdapat perbezaan dari segi sosial
dan budaya di muka bumi, tetapi sebahagian penting daripada penelitian
antropologi ialah memahami persamaan antara sistem sosial yang berbagai-bagai
itu dalam konteks hubungan kemanusiaannya. Seperti yang pernah disebut
oleh salah seorang daripada antropologis yang terkemuka dalam abad
ke-20, Claude Lévi-Strauss, "Antropologi itu menjadikan
manusia sebagai bahan penelitiannya, tetapi berbeza dengan sains
kemanusiaan yang lain, antropologi cuba menangani bahan penelitiannya
melalui kepelbagaiannya yang sangat luas" (1983, h. 49).
Seorang
lagi antropologis yang terkemuka, Clifford Geertz, memberikan pandangan
yang sama dalam sebuah karya yang membincangkan perbezaan antara
manusia dan haiwan:
Kalau kita ingin mengetahui apa yang membentuk manusia, kita boleh melihatnya daripada manusia itu sendiri: tetapi apa yang menjadikan manusia itu manusia, di antara yang terunggul, ialah kepelbagaiannya. Hanya dengan memahami kepelbagaian ini — baik dari segi jenisnya, bentuknya, asasnya, dan kesannya — barulah boleh kita membentuk satu konsep berkenaan sifat manusia, iatu konsep yang mempunyai isi dan kebenaran, yang bukan dibayangi oleh perangkaan dan gambaran mimpi yang agak kabur. (Geertz 1973, h. 529)
Walaupun di kalangan antropologis terdapat minat yang berbagai-bagai yang seringkali pula ditumpukan kepada sesuatu penelitian yang khusus, tetapi semua antropologis mempunyai kecenderungan yang sama, iaitu keinginan untuk memahami hubungan dalam masyarakat dan juga hubungan antara masyarakat. Perkara ini akan menjadi lebih jelas lagi sebaik sahaja kita memulakan perjalanan kita dengan membincangkan intipati dan teori dalam antropologi sosial dan antropologi budaya.
Sebenarnya
terdapat banyak cara untuk menyelidiki hubungan tersebut. Ada pengkaji
yang berminat untuk memahami kenapa dan bagaimana orang Azande di
Afrika Tengah percaya dengan tukang sihir, mengapa di Brazil tahap
perbezaan sosialnya lebih luas daripada yang terdapat di Sweden,
bagaimana penduduk di Mauritius menghindari daripada berlakunya
rusuhan etnik, atau apa sebenarnya yang telah terjadi kepada gaya
hidup cara lama orang Eskimo Inuit semenjak beberapa tahun kebelakangan.
Pada umumnya telahpun ada seorang dua antropologis yang pernah melakukan
penyelidikan serta telah menulis berkenaan masalah tersebut. Ada
pula penyelidik yang berminat meneliti agama, cara membesarkan anak,
kuasa politik, kehidupan ekonomi, atau hubungan antara lelaki dengan
wanita. Untuk itu sudahpun terdapat sejumlah penulisan profesional
oleh antropologis yang dapat memberikan gambaran dan maklumat yang
lebih terperinci.
Disiplin
antropologi juga berminat untuk menyusuri hubungkait antara pelbagai
aspek kehidupan bermasyarakat. Biasanya antropologis akan memulakan
penelitian terhadap perkara tersebut dengan melakukan penyelidikan
yang terperinci terhadap kehidupan sosial dalam sesuatu masyarakat
yang dipilih atau satu persekitaran sosial yang sempadannya telah
dikenalpasti dengan jelas. Justeru itu bolehlah dikatakan bahawa
antropologi sentiasa bertanyakan persoalan yang besar dan luas,
tetapi pada waktu yang sama mengambil iktibar daripada tempat yang
kecil dan terpencil.
Sebelum
ini kita biasanya mengaitkan sifat ulung antropologi dengan masyarakat
kecil bukan-industri, iaitu berbeza sekali daripada bidang-bidang
lain dalam pengajian kemanusiaan. Tetapi gambaran seperti ini sudah
tidak begitu tepat lagi kerana dunia sudah banyak berubah, dan begitulah
juga halnya dengan disiplin antropologi. Bahkan hampir semua sistem
sosial boleh dijadikan bahan kajian antropologi, dan penyelidikan
antropologi masa kini membuktikan betapa luas bidang cakupannya,
bukan sahaja dari segi empiris tetapi juga dari segi tema dan topiknya.
Sebelum
kita melihat dengan lebih dekat sifat-sifat unggul antropologi,
ada baiknya jika kita tinjau dahulu sejarahnya. Seperti juga halnya
dengan bidang sains sosial yang lain, antropologi moden adalah satu
disiplin ilmiah yang agak baru. Sifatnya seperti yang terdapat dewasa
ini sebenarnya terbentuk dalam abad ke-20, tetapi bibitnya sudah
lama tersemai dalam bidang ilmu lain yang berkaitan seperti historiografi,
geografi, catatan pengembara, falsafah dan undang-undang zaman silam.
Teori
Berkenaan Masyarakat Primitif
Memang
terdapat banyak cara untuk menulis sejarah perkembangan antropologi.
Jika kita perhatikan dengan lebih mendalam, kita akan mendapati
bahawa perkara pokok perbincangan antropologi telah lama berakar
umbi dalam penulisan Herodotos, ahli sejarah berbangsa Yunani (sekitar
484-420 Sebelum Masehi), atau dalam karya Strabo, seorang ahli geografi
(sekitar 64-32 Sebelum Masehi). Kedua-duanya merupakan perintis
dalam pemerihalan bercorak etnografis; mereka menulis dengan begitu
jelas tentang masyarakat di tempat lain. Pemerihalan mereka tentang
adat resam, bahasa, dan ‘keganjilan’ masyarakat asing
dilakukan dengan seberapa jelas yang mungkin, dan biasanya tanpa
melibatkan sebarang penilaian moral. Herodotos mungkin bersetuju
dengan pandangan semasa di kalangan antropologis bahawa setiap masyarakat
itu mestilah difahami dan dilihat dari kaca mata masyarakat itu
sendiri. Walaupun Herodotos dan Strabo bergantung kepada sumber-sumber
lain dalam penulisan mereka, tetapi jelas sekali bahawa mereka menggunakan
sumber tersebut dengan penuh berhati-hati, kerana pada pendapat
mereka sesuatu kenyataan yang dibuat oleh seseorang itu hanya dapat
disahkan kebenarannya jika kita sendiri yang melakukan pemerhatiannya.
Dalam hal ini mereka bolehlah dianggap sebagai ahli sains sosial
‘sebelum zaman persuratan’ (avant la lettre).
Sejarah
perkembangan antropologi moden boleh juga dikatakan bermula dengan
ahli falsafah abad ke-18 seperti David Hume dan Immanuel Kant. Hume,
salah seorang daripada ahli empirisis British (sama seperti Locke
dan Berkeley), menghujahkan bahawa pengalaman sendiri adalah satu-satunya
sumber kepada pengetahuan sebenar yang boleh dipercayai. Beliau
kemudiannya mempengaruhi dengan kuat para ahli sains sosial empiris,
yang terdiri daripada beberapa orang pengasas yang terus terang
menolak pegangan bahawa tanggapan dan tekaan boleh dijadikan sumber
pengetahuan yang sah. Bagi golongan ini mereka sanggup keluar mengembara
ke alam sosial serta menggunakan mata dan telinga untuk mengalami
secara peribadi keadaan sebenar (perkataan ‘empiris’ sebenarnya
bermakna ‘berasaskan pengalaman’). Kant pula telah cuba
menolak beberapa pendapat Hume, dan beliau menghujahkan bahawa manusia
mempunyai daya pemikiran atau kebolehan mental yang sama, yang dikatakan
terletak pada cara mereka berfikir. Dalam perkataan lain, Kant berpendapat
bahawa manusia itu dilahirkan dengan satu ‘formula’ tunggal
untuk berfikir; justeru itu manusia di segenap pelusuk dunia berfikir
dengan cara yang hampir sama. Usulan ini, yang berhubung dengan
tret pemikiran yang sejagat (universal mental traits), telah
menjadi satu fokus perbincangan yang penting dalam perkembangan
antropologi moden.
Kebanyakan
penulisan berkenaan sejarah antropologi bukan bermula dengan Herodotos
atau Kant, tetapi dengan cendekiawan pertengahan abad ke-19. Asas
kepada antropologi moden dapat dikaitkan dengan buku Ancient
Law (1861) oleh Henry Maine dan beberapa buah buku Lewis Henry
Morgan, termasuk Ancient Society (1877). Kedua-dua orang
pengarang telah membina beberapa teori tentang ‘masyarakat
primitif’, dan pandangan mereka terus berpengaruh sehingga
jauh ke dalam abad ke-20. Maine, yang pernah menjalankan penyelidikan
di India, telah mengemukakan perbezaan asas antara masyarakat yang
berasaskan hubungan status dengan yang berasaskan hubungan kontrak,
iaitu dua konsep kembar yang kemudiannya ternyata telah banyak mempengaruhi
kita dalam membezakan masyarakat ‘tradisional’ daripada
masyarakat ‘moden’. Dalam masyarakat yang berteraskan
hubungan status atau yang tradisional sifatnya, Maine menegaskan
bahawa faktor kekerabatan sangat penting dalam menentu-kan kedudukan
seseorang; manakala dalam masyarakat yang berteraskan hubungan kontrak,
kedudukan sosial seseorang itu ditentukan oleh pencapaian peribadinya
berdasarkan kebolehan dan kepandaiannya.
Sumbangan
Morgan yang sangat penting terhadap perkembangan awal antropologi
ialah teori evolusi sosialnya. Beliau mengemukakan tiga tahap utama
dalam evolusi atau perkembangan sesuatu masyarakat: savagery,
barbarism, dan tamadun. Pada tahap savagery (liar
buas), manusia hidup dengan memburu serta meramu; pada tahap barbarism
(liar ganas), pertanian dan menternak haiwan menjadi cara hidup
mereka; sementara masyarakat yang sudah mencapai tahap tamadun mempunyai
sistem persuratan dan mampu membentuk sistem pemerintahan berkerajaan
atau state.
Tahap
perkembangan masyarakat seperti yang dikemukakan oleh Morgan adalah
salah satu daripada bentuk teori evolusi dalam abad ke-19. Antara
yang sangat terkenal, dan yang pastinya sangat kompleks, ialah teori
perkembangan sosial perjuangan kelas yang dipelopori oleh Karl Marx
(lihat Bab 9). Walaupun Marx adalah seorang pemikir yang jauh lebih
unggul daripada Morgan, tetapi Morganlah yang lebih penting dari
segi sumbangan terhadap perkembangan awal antropologi kerana menumpukan
minatnya terhadap masyarakat bukan-industri, dan juga kerana cara
beliau menggunakan dengan teliti sumber-sumber etnografis.
Evolusionisme
dan Difusionisme
Satu
ciri antropologi pada abad ke-19 ialah pegangan kepada evolusi sosial
— iaitu pendapat bahawa masyarakat berkembang mengikut arah
yang tetap dan sehala — serta anggapan bahawa masyarakat Eropah
adalah hasil yang terbentuk di penghujung perjalanan tersebut, yang
semestinya mengambil masa yang sangat lama, bermula dengan tahap
liar buas (savagery). Pandangan seperti ini menjadi satu
kelaziman dalam zaman Victoria selain daripada kepercayaan bahawa
kemajuan dan pencapaian teknologi yang mereka miliki itu adalah
kemuncak kepada keunggulan mereka. Pada zaman yang samalah dasar
penjajahan Eropah mula berkembang ke tempat lain. Bagi orang Eropah
penjajahan perlu dilakukan kerana mereka mempunyai tanggung jawab
untuk membela nasib masyarakat di luar Eropah selari dengan apa
yang disebut oleh Rudyard Kipling sebagai ‘beban orang kulit
putih’ (white man’s burden) -- kononnya orang Eropahlah
yang bertanggungjawab dalam ‘mentamadunkan orang liar buas’
(to civilise the savages). Teori evolusi Charles Darwin,
yang pertama kali diperkenalkan dalam bukunya On the Origin of
Species by Means of Natural Selection (1859), juga telah mempengaruhi
kuat pemikiran intelektual dalam separuh kedua abad ke-19. Penyokong
kuat Darwin, Herbert Spencer, telah mengemukakan aliran pemikiran
Dawinisme Sosial, yang berpegang kepada pendapat bahawa masyarakat
berkembang mengikut cara yang sama seperti yang dilalui oleh spesies
haiwan dari segi adaptasi persekitaran, iaitu melalui persaingan
sesama sendiri sehingga tinggal yang terunggul dan terkuat sahaja
(survival of the fittest).
Satu
lagi aliran pemikiran antropologi dalam abad ke-19 ialah difusionisme
yang berpusat di Jerman, iaitu aliran yang berkaitan dengan penyebaran
tret budaya mengikut kawasan geografis. Jika sekiranya golongan
evolusionis berpendapat bahawa setiap masyarakat mempunyai keupayaan
dalaman untuk mengalami perubahan, golongan difusionis pula berusaha
untuk membuktikan bahawa kewujudan sesuatu tret budaya itu biasanya
dibawa masuk dari luar. Walaupun sering terdapat percanggahan pendapat
antara dua golongan tersebut, pada prinsipnya difusionisme tidak
semestinya berlawanan sama sekali dengan evolusionisme; kedua-dua
pendekatan pernah dan mungkin boleh diterima tanpa berat sebelah
kepada mana-mana pihak. Dalam antropologi, minat terhadap difusionisme
mula menurun sekitar Perang Dunia Pertama, kerana pada masa itu
kebanyakan penyelidik telah menukar kaedah penyelidikan masing-masing
dengan menumpu kepada satu-satu masyarakat secara mendalam tanpa
menghiraukan sejarah perkembangan masyarakat berkenaan. Walaubagaimanapun,
satu aliran teori yang mirip kepada difusionisme mula kembali dalam
tahun 1990an, iaitu di bawah nama ‘globalisasi’ atau pensejagatan
(lihat Bab 18). Pendekatan globalisasi cuba memahami dan menghuraikan
bagaimana sistem perhubungan moden, penghijrahan penduduk, sistem
kapitalis dunia dan pelbagai fenomena lain yang bersifat ‘global’
atau ‘sejagat’ mempengaruhi cara hidup penduduk tempatan
di segenap pelusuk dunia.
Pada
penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, muncul cendekiawan British
seperti Edward Tylor, James Frazer dan W. H. R. Rivers.
Melalui merekalah kita diperkenalkan dengan antropologi sosial moden.
Tylor telah menulis tentang pelbagai tajuk, tetapi yang terpenting
ialah takrifan ‘budaya’ yang digubal oleh beliau dalam
tahun 1871. Oleh kerana takrifannya itulah Tylor terus diingati
dalam sejarah perkembangan antropologi. Takrifan yang terkenal itu
berbunyi: "Budaya atau tamadun, dalam erti kata etnografis
yang luas, ialah gagasan keseluruhan yang merangkumi pengetahuan,
kepercayaan, seni, tata susila, adat, dan apa sahaja kebolehan dan
tingkah laku yang dipelajari oleh manusia sebagai anggota masyarakat’
(Tylor 1968 [1871]). Sehingga hari ini takrifan yang mula-mula sekali
dibuat oleh Tylor terhadap ‘budaya’ masih lagi dianggap
berguna oleh ramai antropologis.
Anak
murid Tylor, James Frazer, telah menulis The Golden Bough
(1890) dalam 12 jilid, iaitu sebuah karya yang sangat tebal walaupun
dalam bentuk yang sudah diringkaskan (Frazer 1974 [1922]). Kandungannya
terdiri daripada perbandingan yang sangat luas tentang agama dan
ritus, serta pelbagai bentuk maklumat etnografis yang terperinci
yang sangat bernilai dari segenap pelusuk dunia. Tylor dan Frazer
adalah evolusionis, dan usaha utama Frazer dalam teorinya bertujuan
membuktikan bagaimana pemikiran manusia itu berkembang, mula-mula
dari tahap magis, kemudian ke tahap keagamaan, dan seterusnya ke
tahap saintifik.
Tylor
dan Frazer tidak pernah melakukan sebarang penyelidikan lapangan
secara mendalam, walaupun Tylor sendiri pernah tinggal buat beberapa
tahun di Mexico dan menulis sebuah buku di sana. Satu cerita yang
diketahui ramai mengesahkan bagaimana William James, seorang ahli
falsafah yang disegani, pernah bertanya kepada Frazer, sewaktu sama-sama
menghadiri sebuah majlis makan malam, sama ada Frazer sendiri pernah
bergaul dengan ahli masyarakat liar yang telah begitu banyak diperihalkan
olehnya. Jawapan Frazer dikatakan sangat menakjubkan, kerana dengan
nada yang terkejut beliau menjawab "Minta dijauhi tuhan hendaknya!’
(Evans-Pritchard 1962).
Keadaannya
agak berlainan pula dengan W. H. R. Rivers dan rakan-rakannya,
termasuk A. R. Haddon dan Charles Seligman. Mereka tidak
bergantung sangat kepada laporan yang ditulis oleh mubaligh dan
pengembara, yang kadang kalanya tidak begitu tepat. Sebaliknya mereka
sendiri telah keluar ke lapangan untuk melakukan penyelidikan. Rivers
dan rakan-rakannya telah mengambil bahagian dalam sebuah lawatan
penyelidikan ke Selat Torres (terletak di antara New Guinea dan
Australia) dalam tahun 1898. Lawatan itulah yang dianggap oleh ramai
sarjana sebagai pembuka tirai kepada era baru kerja lapangan dalam
amalan antropologi moden.
Kemunculan
Antropologi Moden
Franz
Boas dan Bronislaw Malinowski seringkali dianggap sebagai antropologis
moden yang pertama. Boas berketurunan Jerman, tetapi telah berhijrah
ke Amerika Syarikat dalam tahun 1880an untuk mengkaji suku bangsa
peribumi Amerika. Beliau sendiri telah melakukan penyelidikan yang
terperinci di kalangan orang Inuit dan beberapa kaum lain, dan beliaulah
satu-satunya orang yang telah menubuhkan tradisi antropologi budaya
di Amerika. Beberapa orang antropologis yang terkenal seperti Alfred
Kroeber, Ruth Benedict dan Margaret Mead berguru dengan Boas. Pengaruh
beliau berkembang dengan mendalam dalam banyak bidang penyelidikan,
tetapi sumbangannya yang terulung ialah dalam doktrin relativisme
budaya (cultural relativism), iaitu pendapat bahawa sesuatu
budaya itu mestilah difahami mengikut logik budaya masyarakat berkenaan.
Mengikut pandangan tersebut agak mengelirukan dari segi analisis
jika setiap budaya itu disusun mengikut tinggi rendah di atas anak
tangga evolusi. Relativisme budaya masih lagi berguna sebagai alat
dalam metodologi penyelidikan hingga hari ini; perhatian mendalam
tentang pendekatan ini akan diberikan kemudian dalam buku ini.
Malinowski
dilahirkan di Poland, tetapi beliau telah berhijrah ke Britain dalam
tahun 1910. Sumbangan beliau yang sangat penting ialah penulisannya
yang sangat terperinci lagi mendalam tentang kehidupan sosial di
Kepulauan Trobriand yang terletak tidak jauh dari New Guinea. Kerja
lapangan beliau di sana berterusan sehingga lebih dari dua tahun,
iaitu dari tahun 1915 hingga 1918. Kerja lapangan seperti yang dilakukan
oleh Malinowski, yang melibatkan hubungan rapat dan berterusan dengan
penduduk tempatan, telah menjadi satu-satunya contoh penyelidikan
yang terus menerus dikagumi dan ditauladani oleh generasi antropologis
yang menyusul kemudian. Malinowski telah menekankan peri pentingnya
dikaji hubungkait antara pelbagai aspek sosial dalam masyarakat,
dan seterusnya berpendapat bahawa kerja lapangan yang memakan masa
yang lama adalah sesuatu yang sangat penting. Satu perkara lagi
yang sangat mustahak mengikut pengalaman Malinowski ialah kemahiran
bertutur dalam bahasa tempatan. Monograf yang ditulis oleh Malinowski,
Argonauts of the Western Pacific (1922) telah menjadi sebuah
buku klasik dengan serta merta kerana pemerihalan etnografisnya
yang sangat menyeluruh dan sistematis, serta kekuatannya dalam memberikan
keyakinan kepada pembaca akan peri pentingnya mengkaji sesuatu fenomena
sosial atau budaya itu secara mendalam dan menyeluruh.
Salah
seorang daripada rakan sebaya Malinowski, yang juga tidak kurang
hebatnya dari segi sumbangan kepada perkembangan antropologi, ialah
A. R. Radcliffe-Brown. Beliau banyak dipengaruhi oleh
ahli sosiologi Perancis yang terkenal, Émile Durkheim, melalui
penulisannya berkenaan dengan kesepaduan sosial. Durkheim juga telah
banyak menulis tentang pembahagian kerja (division of labour)
dalam masyarakat ‘primitif’, dan juga berkenaan dengan
agama dan totemisme (lihat Bab 13 dan 14). Bagi beliau masyarakat
boleh dilihat sebagai satu gagasan organik yang menyeluruh yang
terdiri daripada beberapa bahagian. Bahagian-bahagian ini, yang
boleh disamakan dengan individu atau institusi sosial, memainkan
peranan tertentu dalam memenuhi tuntutan dari segi fungsi sosialnya.
Dengan perkataan lain bahagian inilah yang memainkan peranan penting
dalam menyumbang kepada kestabilan masyarakat. Radcliffe-Brown telah
menggunakan teori sosial Durkheim untuk menganalisis bahan etnografis
yang dikumpulnya sendiri dan juga bahan etnografis beberapa penyelidik
lain yang mengkaji pelbagai masyarakat ‘primitif’. Beliau
memberi tekanan bahawa sesuatu masyarakat hendaklah dikaji dalam
keadaan semula jadi dan persekitaran sebenar. Pendirian ini adalah
lebih baik daripada pendekatan yang menggunakan kaedah persejarahan
tekaan (conjectural history) seperti yang cenderung dilakukan
oleh antropologis daripada generasi sebelumnya. Bahkan, kedua-dua
orang antropologis, iaitu Malinowski dan Radcliffe-Brown, pernah
memperlihatkan sikap kurang senang kaedah persejarahan budaya.
Radcliffe-Brown
dianggap sebagai pengasas kepada pendekatan struktural-fungsionalisme
dalam antropologi. Doktrina ini adalah berkenaan dengan peranan
pelbagai institusi sosial dalam menyumbang kepada kestabilan masyarakat.
Malinowski sendiri bukan seorang struktural-fungsionalis, biarpun
beliau mengaku dirinya menggunakan pendekatan fungsionalis. Radcliffe-Brown
dan pengikutnya berpendapat bahawa setiap individu dalam masyarakat,
berserta dengan tindak tanduknya, sebenarnya adalah ‘hasil
sampingan’ daripada kewujudan masyarakat yang merupakan lembaga
yang lebih besar dan menyeluruh. Dalam hal ini tugas individu ialah
menyumbang kepada kesepaduan dan keutuhan masyarakat dari segi maknanya
yang lebih mendalam. Malinowski pula mempunyai pandangan yang berlainan;
bagi beliau kewujudan masyarakat itu adalah untuk memenuhi kepentingan
individu, bukan sebaliknya. Perbezaan pendapat antara kedua-dua
tokoh, yang bermula pada masa perkembangan awal antropologi moden,
berlarutan sehingga ke hari ini. Sesetengah antropologis berpendapat
bahawa kewujudan masyarakat itu adalah ‘hasil sampingan’
yang tidak dirancang yang terbentuk daripada tindak tanduk manusia;
sementara sesetengah antropologis pula menganggap bahawa individu
atau orang perseorangan itu adalah hasil daripada wujudnya masyarakat.
Banyak
lagi yang boleh disebut tentang tokoh-tokoh penting yang telah mewarnai
pemikiran antropologi masa kini. Durkheim, dengan aliran pemikiran
sosiologi Perancisnya, telah mempengaruhi perkembangan antropologi
dengan begitu meluas sekali. Anak saudara beliau, Marcel Mauss,
telah menulis beberapa karya, tetapi yang terpenting ialah berkenaan
peranan hadiah dalam kehidupan sosial, Essai sur le don (The
Gift, 1954 [1925]; lihat Bab 11). Lucien Lévy-Bruhl,
rakan sebaya Mauss, telah menulis buku berkenaan pelbagai bentuk
dan cara berfikir, iaitu penulisan yang akhirnya telah mencetus
perdebatan hangat, berpanjangan dan begitu kompleks, berhubung dengan
cara berfikir masyarakat ‘primitif’-- sama ada cara dan
bentuk mereka berfikir itu jauh berbeza dengan bentuk dan cara berfikir
orang ‘moden’ (lihat Bab 14). Ferdinand de Saussure, seorang
ahli bahasa, juga mesti disebut dalam konteks perdebatan yang sama
kerana sumbangannya yang penting. Penulisan beliau berkenaan dengan
struktur bahasa telah menjadi sumber ilham kepada salah satu daripada
aliran pemikiran antropologi yang terulung dalam abad ini, iaitu
strukturalisme, yang dipelopori oleh Claude Lévi-Strauss
(Bab 7 dan 8).
Sigmund
Freud, dengan teori psikoanalisisnya, juga mempunyai pengaruh yang
kuat terutama sekali terhadap perkembangan antropologi di Amerika.
Akhir sekali, tradisi sosiologi Jerman klasik, daripada Karl Marx,
Ferdinand Tönnies, Max Weber dan lain-lain, terus menerus mempunyai
pengaruh yang kuat ke atas pemikiran antropologi sosial masa kini.
Dalam bab-bab seterusnya kita akan kembali semula membincangkan
aliran pemikiran yang telah diperkenalkan oleh tokoh-tokoh agung
dalam perkembangan teori sosial.
Tradisi
Berlainan dalam Antropologi
Antropologi
adalah satu bidang yang luas liputannya dan pelbagai pula sifatnya,
yang diamalkan dalam bentuk yang berbeza-beza bergantung kepada
tempat dan keadaan. Namun demikian antropologi masih tetap mempunyai
sifatnya yang khusus walau di manapun diamalkan. Semenjak Perang
Dunia Kedua, antropologi mendapat tempat penting di Great Britain,
Amerika Syarikat, Perancis dan Australia. Antropologi British, yang
umumnya lebih dikenali sebagai antropologi sosial, juga mempunyai
kedudukan yang kuat di negara-negara Scandinavia dan India. Penekanannya
adalah terhadap penelitian ke atas proses sosial; justeru itu sifatnya
lebih dekat kepada sosiologi. Ahli antropologi sosial British, Edmund
Leach (1982), pernah menyatakan bahawa kajiannya tidak lain dan
tidak bukan adalah ‘sosiologi mikro perbandingan’ (comparative
micro-sociology). Di Amerika Syarikat, orang lebih berminat
untuk menggunakan istilah antropologi budaya, dan secara
umumnya pengaruh sosiologi tidak begitu ketara seperti yang dapat
kita lihat dalam tradisi antropologi sosial British. Namun demikian
antropologi di Amerika telah banyak dipengaruhi bentuknya oleh linguistik
dan pra-sejarah. Beberapa bentuk pengkhususan dalam sub-bidang antropologi
seperti ekologi budaya, antropologi linguistik, serta pendekatan
yang menggembeling kaedah psikologi dan interpretive anthropology
atau hermeneutic anthropology, lahir di Amerika.
Perkembangan
antropologi Perancis dalam zaman selepas perang mempunyai kaitan
yang rapat dengan strukturalisme (lihat Bab 7), terutama sekali
dengan sarjana seperti Claude Lévi-Strauss, Louis Dumont
dan Maurice Godelier yang terkenal sebagai strukturalis yang menggunakan
pendekatan Marxist. Antropologi Perancis juga mempunyai pengaruh
yang kuat di Amerika Selatan, Itali dan di Semenanjung Iberia, serta
sebahagiannya di Belgium dan Belanda.
Kepelbagaian
pendekatan dalam antropologi seperti yang dinyatakan di atas tidak
semestinya dibesar-besarkan. Walaupun terdapat perbezaan pada masa
lepas (dan juga dewasa ini) antara mereka yang mengamalkan antropologi
secara profesional di negara-negara tertentu, perkara pentingya
ialah disiplin antropologi itu pada hakikatnya tetap satu —
biarpun disiplin ini mempunyai pelbagai pengkhususan serta merangkumi
pula aliran pemikiran yang berlainan. Dalam buku ini kita tidak
banyak membezakan antara antropologi budaya dengan antropologi sosial,
tetapi satu perkara yang harus diingat ialah pengembaraan kita bertolak
daripada pendekatan antropologi sosial. Misalnya, dalam bab yang
membincangkan konsep-konsep teoritis (Bab 3-5) sebahagian besar
daripada kandungannya diasaskan kepada teori-teori sosiologi. Dari
segi perspektifnya, buku ini bersifat perbandingan dalam erti kata
bahawa setiap contoh atau kes yang dipaparkan itu dibandingkan,
sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan fenomena yang
sama dalam masyarakat yang berlainan.
Perisian
Antropologi Secara Ringkas
Jadinya,
apakah itu antropologi? Biarlah kita mulakan dengan etimologi atau
asal usul istilahnya. Antropologi terdiri daripada dua patah perkataan
Greek, anthropos dan logos, yang boleh diterjemahkan
kepada ‘manusia’ dan ‘huraian’. Oleh itu antropologi
bermakna ‘huraian tentang manusia’ atau ‘pengetahuan
tentang manusia’. Sosial antropologi pula bermakna pengetahuan
tentang manusia dalam masyarakat. Takrifan tersebut sudah tentulah
merangkumi bidang sains sosial yang lain, tetapi buat permulaan
takrifan ini sudah memadai.
Istilah
culture (budaya) yang sangat penting dalam disiplin antropologi
berasal daripada perkataan Latin colere, iaitu kata kerja
yang bermakna ‘mencambah’ (cultivate). (Perkataan
Inggeris colony juga mempunyai asal usul yang sama). Tetapi
dalam hal ini apa yang dimaksudkan dengan perkara yang ‘dicambah’
itu ialah ‘budaya’, yang merupakan aspek kehidupan yang
menjelma bukan secara semula jadi. Proses ini mesti dilalui dan
dicapai oleh seseorang individu sebelum ia menjadi anggota sesuatu
masyarakat. Oleh itu dalam antropologi ungakapan ‘mencambah
budaya’, dalam pengertian yang lebih luas, membawa maksud
‘menanam kemampuan berbudaya seseorang manusia’. Antropologi
budaya pula bermakna ‘pengetahuan berkenaan dengan manusia
yang dicambah dengan budaya.’
Dalam
penggunaannya dalam bahasa Inggeris istilah culture atau
‘budaya’ merupakan salah satu daripada dua atau tiga perkataan
yang sangat rumit dan sangat bermasalah dari segi huraiannya (Williams
1981, h. 87). Pada awal 1950an Clyde Kluckhohn dan Alfred Kroeber
(1952) telah mengemukakan tidak lebih daripada 161 takrifan budaya.
Tidak mungkin dapat dibincangkan di sini sebahagian besar daripada
takrifan tersebut; lagipun mujurlah sebilangan besar daripadanya
mempunyai makna yang agak sama. Buat permulaan, biarlah kita mentakrifkan
budaya sebagai tindak tanduk oleh seseorang sebagai anggota masyarakat,
baik dari segi keupayaan melakukan sesuatu, kefahaman serta pola
perlakuan, yang mesti dipelajari olehnya dan yang bukan muncul bersamanya
secara semula jadi. Takrifan seperti ini sebenarnya merangkumi pandangan
Tylor dan Geertz (walaupun Geertz pada hakikatnya lebih menekankan
dari segi ‘makna’ daripada ‘perlakuan’). Takrifan
ini jugalah yang biasanya dipakai oleh kebanyakan antropologis.
Namun
demikian konsep budaya itu pada dasarnya membawa beberapa makna
yang agak kabur. Dari satu segi, setiap manusia memang berbudaya;
iaitu dalam erti kata bahawa istilah budaya itu sendiri merujuk
kepada persamaan asas yang sedia terdapat pada setiap orang.
Pada sudut yang lain pula, manusia secara berasingan mempelajari
dan mempunyai keupayaan dan kebolehan yang berlainan, serta kefahaman
dan pandangan yang berbeza dan sebagainya; justeru itu sesama merekapun
terdapat perbezaan semata-mata kerana pengalaman budaya masing-masing
yang berlainan. Oleh yang demikian, perkara penting yang harus kita
ingat ialah budaya merujuk kepada persamaan asas dan juga kepada
perbezaan yang sistematis di kalangan manusia.
Hubungan
antara budaya dan masyarakat boleh dihuraikan seperti berikut. Budaya
merujuk kepada aspek kehidupan yang dipelajari oleh seseorang atau
yang ‘dicambah’ pada diri seseorang, yang bersifat kognitif
dan simbolis, manakala masyarakat merujuk kepada organisasi sosial
yang merangkumi kehidupan manusia, dari segi pola pergaulan (atau
interaksi) dan hubungan kuasa. Perbezaan dari segi analisisnya mungkin
nampak mengelirukan pada peringkat ini, tetapi perkara ini akan
menjadi lebih jelas dalam perbincangan kemudian nanti.
Satu
takrifan ringkas antropologi boleh berbunyi seperti berikut: "Antropologi
ialah kajian perbandingan mengenai budaya dan kehidupan sosial.
Metod atau kaedah kajiannya yang paling penting ialah pemerhatian
ikutserta (participant observation), yang terdiri
daripada kerja lapangan yang memakan masa yang lama, yang dijalankan
dalam sebuah persekitaran sosial yang khusus." Pendekatan dalam
disiplin ini ialah membandingkan aspek-aspek tertentu yang terdapat
di kalangan masyarakat yang berlainan, serta terus berusaha mencari
unsur-unsur lain yang boleh dijadikan asas perbandingan. Sebagai
contoh, jika kita memilih untuk menulis monograf berkenaan dengan
sebuah masyarakat di kawasan tanah tinggi New Guinea, biasanya cara
terbaik untuk berbuat demikian ialah dengan menggunakan beberapa
konsep tertentu (seperti kekerabatan, gender dan kuasa) bagi memerihalkannya;
iaitu konsep yang membolehkan kita membuat perbandingan dengan perkara-perkara
yang sama dalam masyarakat yang berlainan.
Selanjutnya,
disiplin ini menekankan betapa pentingnya kita melakukan kerja lapangan,
iaitu pemerhatian terperinci terhadap sesuatu persekitaran sosial
dan budaya, yang biasanya memerlukan kehadiran penyelidik untuk
satu tempoh masa yang agak lama, biasanya satu tahun atau lebih.
Jelaslah
bahawa antropologi mempunyai banyak persamaan dengan disiplin lain
dalam sains sosial dan kemanusiaan. Bahkan, satu persoalan yang
agak rumit yang sering ditimbulkan ialah menentukan sama ada antropologi
itu tergolong dalam bidang sains atau bidang kemanusiaan. Persoalannya
ialah adakah kita mencari hukum umum, seperti yang dilakukan oleh
ahli sains tulen. Sebaliknya, adakah kita cuba memahami dan membuat
pentafsiran terhadap masyarakat yang berlainan? Dua orang tokoh
terkenal, E. E. Evans-Pritchard di Britain dan Alfred
Kroeber di Amerika Syarikat, pernah menekankan dalam sekitar tahun
1950, bahawa antropologi mempunyai lebih banyak persamaan dengan
sejarah daripada sains tulen. Pendapat mereka pada masa itu dianggap
hampir karut, tetapi sekarang pandangan tersebut sudah menjadi perkara
biasa di kalangan kebanyakan antropologis. Namun demikian, masih
terdapat segelintir antropologis yang berpendapat bahawa antropologi
sepatutnya mempunyai pendekatan ketat yang lebih saintifik, sama
seperti yang diamalkan dalam bidang sains tulen.
Sebahagian
daripada pendapat yang berlainan yang disebut di atas akan dibincangkan
dalam bab yang menyusul. Beberapa sifat utama yang mencirikan antropologi
terdapat pada semua yang mengamalkan disiplin ini; antropologi bersifat
perbandingan dan empiris; kaedah atau metodologinya yang sangat
penting ialah kerja lapangan; dan antropologilah yang sebenarnya
mempunyai fokus kepada sesuatu isu secara sejagat, dalam pengertian
bahawa disiplin ini tidak pernah menganggap mana-mana kawasan geografis,
atau mana-mana masyarakat sebagai lebih penting daripada yang lain.
Berbeza dengan sosiologi, antropologi tidak menumpukan perhatiannya
ke atas masyarakat industri; berbeza dengan falsafah, antropologi
menekankan peri pentingnya penyelidikan empiris; berbeza dengan
sejarah, antropologi mengkaji masyarakat pada detik dan ketika wujudnya
masyarakat berkenaan; dan berbeza dengan linguistik, antropologi
menekankan konteks sosial dan budaya sesuatu bahasa yang dituturkan.
Sudah tentulah terdapat banyak tindan lapis dalam antropologi dengan
disiplin sains yang lain. Pastinya juga antropologi mempelajari
banyak perkara daripada disiplin tersebut. Namun demikian antropologi
mempunyai sifatnya yang tersendiri sebagai salah satu daripada disiplin
akademik. Antropologi, pada masa yang sama, cuba menghuraikan kewujudan
kepelbagaian dalam dunia, serta cuba pula membina perspektif teori
dalam pendekatan terhadap budaya dan masyarakat.
Sebelum
kita membincangkan dalam bab yang menyusul kaedah kerja lapangan
dalam penyelidikan antropologi, ada baiknya jika disentuh beberapa
lagi sifat penting antropologi.
Gambar 1.1:
Sebelum Perang Dunia Kedua terdapat beberapa pertunjukan 'kabilah
negro' (negro caravans) yang sangat diminati oleh penduduk
di bandar-bandar besar Eropah. Dalam pertunjukan itu orang Afrika
dijadikan bahan tontonan seperti haiwan di zoo. Gambar ini menunjukkan
'perkampungan negro' di Christiana (sekarang Oslo) dalam tahun
1914. Soalannya sekarang ialah sejauh manakah tanggapan umum orang
Eropah terhadap 'masyarakat eksotik' seperti ini telah berubah
semenjak zaman tersebut? (Gambar daripada ihsan Museum Etnografi
Oslo)
Etnosentrisme
Sesuatu
masyarakat atau budaya, seperti yang dinyatakan sebelum ini, mestilah
difahami dalam peristilahannya sendiri. Dalam mengatakan demikian
bukanlah bermakna bahawa kita bersetuju dengan penggunaan satu bentuk
ukuran umum bagi menilai sesuatu masyarakat. Ukuran tersebut tersebut
mungkin merangkumi jangka hayat, keluaran negara kasar (gross
national product), hak demokrasi, kadar celik huruf, dan sebagainya.
Tidak berapa lama dahulu satu amalan yang sering dilakukan oleh
masyarakat Eropah ialah menilai masyarakat di luar Eropah mengikut
peratusan penduduknya yang memeluk agama Kristian. Seandainya peratusan
itu tinggi maka tinggilah kedudukan negara tersebut mengikut kayu
ukuran yang digunakan. Penilaian terhadap manusia seperti yang dilakukan
itu sesungguhnya sangat tidak sesuai dengan pendekatan antropologi.
Oleh itu, jika kita ingin menilai mutu hidup dalam sesebuah negara
atau masyarakat luar, kita mestilah terlebih dahulu memahami masyarakat
itu dari dalam; jika tidak penilaian yang kita buat itu mempunyai
nilai ilmiah yang sangat terbatas. Apa yang dianggap sebagai ‘gaya
hidup yang baik’ dalam masyarakat Eropah misalnya, tidak semestinya
menarik dan sangat-sangat dikehendaki jika dinilai dari sudut dan
kedudukan masyarakat lain. Bagi memahami erti sebenar kehidupan
sosial sesuatu masyarakat, maka sangat perlu untuk kita cuba mendalami
terlebih dahulu bagaimana alam nyata sesuatu masyarakat difahami
dan dirasai sendiri oleh ahli-ahlinya. Untuk berjaya dalam usaha
ini, maka tidak memadai jika kita hanya memilih beberapa ‘angkubah’
sahaja. Ternyata bahawa penggunaan konsep seperti ‘pendapatan
tahunan’ tidak sesuai sama sekali bagi sebuah masyarakat yang
tidak mengenali mata wang serta tidak tahu akan kaedah kerja yang
diupah dengan wang.
Penghujahan
seperti di atas bolehlah dianggap sebagai amaran awal terhadap etnosentrisme.
Istilah tersebut berasal daripada perkataan Yunani (ethnos
bermaksud ‘orang’) Etnosentrisme membawa maksud bahawa
kita menilai masyarakat lain daripada kaca mata kita sendiri, serta
memperihalkan mereka dalam peristilahan kita. Dengan demikian, ciri-ciri
ethnos yang ada pada diri kita, termasuk nilai budaya kita,
dijadikan kayu ukur dalam penilaian tersebut. Justeru itu tidak
hairanlah jika orang lain atau masyarakat asing kelihatan begitu
rendah taraf sosial dan budaya mereka jika dipandang dari kaca mata
ethnos kita. Misalnya jika kita mendapati bahawa di kalangan
masyarakat Nuer kemudahan pinjaman untuk membeli rumah daripada
institusi kewangan sukar diperolehi, maka kita tidak boleh membuat
kesimpulan bahawa masyarakat Nuer tidaklah sesempurna masyarakat
kita. Jika kita mendapati bahawa kemudahan bekalan elektrik tidak
terdapat di kalangan orang Kwakiutl di pantai barat Amerika Utara,
maka kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa cara hidup orang
Kwakiutl itu tidak sejahtera berbanding dengan cara hidup kita.
Jika sekiranya orang Kachin di sebelah utara Myanmar menolak agama
Kristian, maka kita tidak boleh menganggap bahawa orang Kachin tidak
bertamadun. Jika sekiranya orang San (kaum Bushmen) di gurun Kalahari
buta huruf, maka kita tidak boleh terus menyatakan bahawa mereka
itu tidak pintar. Jika sekiranya kita terus menerus mempunyai pandangan
berunsur etnosentrisme, maka ternyata bahawa kita sama sekali tidak
memberikan sebarang peluang bagi orang lain untuk mempunyai sebarang
perbezaan dan hidup dalam persekitaran sosial dan budaya yang berlainan.
Pandangan
etnosentrisme juga merupakan satu halangan besar kepada usaha untuk
memahami masyarakat dan budaya lain dalam peristilahan mereka sendiri.
Sebenarnya antropologi tidak membandingkan masyarakat asing dengan
masyarakat sendiri serta menyusun pelbagai masyarakat pada tahap
tinggi rendah, serta meletakkan masyarakat kita pada anak tangga
paling atas. Sebaliknya antropologi menghendaki kita memahami masyarakat
yang berlainan itu seperti yang kelihatan daripada dalam
masyarakat berkenaan. Antropologi tidak dapat memberikan jawapan
yang tepat kepada soalan yang berbunyi seperti berikut: "Antara
banyak masyarakat, masyarakat manakah yang paling baik." Jawapannya
memang tidak akan wujud semata-mata kerana sememangnya bukan sifat
semula jadi disiplin antropologi untuk bertanyakan soalan seperti
ini. Jika ditanya apakah bentuk hidup dan masyarakat yang sempurna,
maka antropologis hanya boleh memberikan jawapan bahawa setiap masyarakat
itu mempunyai takrifan masing-masing terhadap soalan tersebut yang
sudah pasti mempunyai pengertian yang berbeza-beza.
Lagipun,
masalah etnosentrisme sangat sukar untuk dikesan jika dibandingkan
dengan pendirian yang bersifat moralis. Etnosentrisme juga boleh
mempengaruhi konsep yang kita gunakan untuk memahami pelbagai masyarakat
di muka bumi. Misalnya kita tidak boleh menggunakan konsep ‘politik’
dan ‘kekerabatan’ bagi masyarakat yang ternyata tidak
mempunyai pemahaman asas terhadap kedua-dua konsep ini. Istilah
politik mungkin terdapat dalam masyarakat asal ahli etnografis,
tetapi istilah tersebut mungkin tidak ada dalam masyarakat yang
dikajinya. Masalah asas seperti ini akan dibincangkan kemudian dengan
lebih mendalam lagi.
Relativisme
budaya pula sering dikatakan berlawanan dengan etnosentrisme. Mengikut
relativisme budaya setiap masyarakat atau budaya itu berbeza-beza
antara satu sama lain dari segi mutu hidup dan sebagainya, serta
masing-masingya mempunyai logik dalaman yang unik dan tersendiri.
Justeru itu agak tidak tepat dari segi kaedah saintifiknya jika
kita menilai masyarakat tersebut dengan meletakkan mereka pada skala
tinggi rendah. Sebagai contoh, katakan kita menggunakan angkubah
‘celik huruf’ dan ‘pendapatan tahunan’ untuk
membuat penilaian terhadap masyarakat San. Oleh kerana di kalangan
orang San kadar tersebut sangat rendah, maka kita letakkan masyarakat
San pada tahap yang terkebawah pada anak tangga berkenaan. Sebenarnya
penilaian seperti ini tidak membawa sebarang makna kerana dalam
masyarakat San wang dan buku tidak begitu diutamakan. Jelaslah bahawa
dalam kerangka pendekatan relativisme budaya, kita tidak boleh mengatakan
bahawa masyarakat yang mempunyai jumlah kereta yang banyak itu adalah
masyarakat yang ‘lebih baik’ daripada masyarakat yang
mempunyai jumlah kereta yang kurang; atau nisbah bilangan panggung
wayang dengan jumlah penduduk adalah satu petunjuk yang tepat terhadap
mutu hidup bagi sesebuah masyarakat.
Namun
demikian, relativisme budaya adalah ketetapan teoritis yang tidak
boleh dipersoalkan serta menjadi satu kemestian dan alat utama sebagai
kaedah atau metodologi untuk memahami masyarakat asing sebaik mungkin
tanpa menaruh sebarang buruk sangka. Dari segi etikanya, mengamalkan
relativisme budaya barangkali agak sukar, kerana nampaknya setiap
perkara yang wujud dalam sesuatu masyarakat itu sama baiknya dengan
yang terdapat dalam masyarakat lain. Akhirnya pendirian seperti
ini mungin akan mengarah kepada nihilisme, iaitu doktrina yang mengatakan
bahawa tiada sebarang asas yang kukuh bagi sesuatu kebenaran, sementara
kewujudan itu tidak membawa apa-apa makna; justeru itu membuat penilaian
ke atas sesuatu yang wujud itu adalah satu usaha yang sia-sia. Sebab
itulah kena pada masanya jika dikatakan bahawa walaupun antropologis
adalah pengamal relativisme budaya yang sangat ketat semasa menjalankan
tugas seharian mereka, tetapi dalam menjalani kehidupan peribadi
masing-masing, antropologis adalah manusia biasa. Kadang kalanya
mereka juga mempunyai pendirian serta nilai yang dogmatis terhadap
apa yang betul dan apa yang salah.
Akhir
kata relativisme budaya tidak boleh dianggap bertentangan sama sekali
dengan etnosentrisme, kerana relativisme budaya yang sebenar bebas
daripada sebarang prinsip moral. Bagi antropologi, prinsip relativisme
budaya berguna sebagai alat metodologi atau kaedah sahaja, tidak
leboh daripada itu. Alat inilah yang akan membantu kita meneliti
dan membandingkan masyarakat tanpa meletakkan mana-mana masyarakat
pada anak tangga dan ukuran moral. Tetapi kenyataan ini bukan pula
bermakna bahawa dalam pendekatan ini tidak ada perbezaan antara
perlakuan yang salah dengan perlakuan yang betul.
Akhir
sekali, kita harus sedar bahawa ramai antropologis berhasrat untuk
mencari apakah ciri-ciri serta unsur kemanusiaan sepunya yang terdapat
pada setiap masyarakat atau kumpulan manusia. Tidak semestinya terdapat
sebarang percanggahan antara usaha seperti ini dengan pendekatan
relativisme budaya, biarpun universalisme kadangkala dikatakan bertentangan
sifatnya dengan relativisme budaya. Pada satu tahap tertentu dalam
analisis antropologi, tidak ada salahnya jika seseorang itu menggunakan
pendekatan relativisme jika pada masa yang sama ia juga berpendirian
bahawa di kalangan masyarakat yang pelbagai itu tetap terdapat satu
pola sepunya. Tidak hairanlah jika ramai yang akan mengaku bahawa
antropologi adalah berkenaan dengan perkara berikut: mencari keunikan
pada setiap persekitaran budaya semua masyarakat dan petunjuk
bahawa alam kemanusiaan itu sebenarnya adalah satu.
Cadangan
Bacaan Tambahan
E. E. Evans-Pritchard:
Social Anthropology. Glencoe: Free Press 1951.
Clifford
Geertz: The Uses of Diversity. Dalam Assessing Cultural Anthropology,
suntingan Robert Borofsky. New York: McGraw-Hill 1994.
Adam
Kuper: Anthropology and Anthropologists: The Modern Bristish
School. London: Routledge & Kegan Paul 1983.
Kotak 1
Franz Boas
(1859-1941), dilahirkan di Minden, Westphalia (Jerman), belajar
ilmu geografi di negara asal Jerman tetapi bertukar minat kepada
antropologi setelah menyertai satu lawatan penyelidikan ke Artik
(di Khutub Utara) dalam tahun 1883-4. Kemudian beliau telah berhijrah
ke Amerika Syarikat dan seterusnya menjadi warna negaranya. Boas
adalah satu-satunya pengasas yang tiada tandingannya dalam mewujudkan
antropologi budaya di Amerika. Beliau telah menjalankan kerja lapangan
di kalangan orang Inuit (Eskimo) di samping beberapa kaum asli di
Amerika; penulisannya yang begitu banyak menjangkau lima puluh tahun,
dan beliau wajar dipanggil bapa kepada antropologi Amerika moden.
Bahkan empat bidang utama penelitian beliau — yang terdiri
daripada etnologi, linguistik, arkeologi dan antropologi fizikal
— masih menjadi teras kepada antropologi Amerika.
Beliau tidak bersetuju
dengan golongan evolusionis yang dipelopori oleh Tylor dan didokong
oleh antropologis Eropah yang lain. Justeru itu beliau memilih untuk
mengembangkan aliran pemikirannya sendiri yang pada hari ini dikenali
sebagai partikularisme sejarah (historical particularism);
iaitu pendapat bahawa evolusi sesuatu masyarakat (atau budaya) mestilah
dilihat dalam konteks dinamik masyarakat itu sendiri. Dalam hal
ini Boas juga mempunyai pendirian yang berbeza dengan antropologis
British, walaupun pada dasarnya beliau sekata dengan mereka dari
segi pendirian terhadap peri pentingya melakukan kerja lapangan
yang terperinci. Berbeza dengan Radcliffe-Brown dan Malinowski,
Boas menekankan konsep kepelbagaian budaya (cultural variation)
serta keunikan setiap budaya. Penekanan ini terbayang apabila Boas
menolak kerangka umum penghuraian sesuatu fenomena budaya seperti
yang biasa dilakukan oleh antropologis British. Namun demikian,
pada tahap yang lain pula Boas sealiran dengan mereka kerana beliau
juga berusaha untuk mencari pola-pola tertentu dalam perlakuan dan
keseragaman silang budaya, terutama sekali pada paras psikologi.
Mungkin Boas adalah orang yang pertama kali menyusun formula untuk
relativisme budaya. Tetapi keunggulan beliau yang sebenar ialah
penekanannya terhadap tatacara mengutip data empiris, yang mesti
dilakukan dengan setepat mungkin serta dengan teratur. Sifatnya
yang sangat teliti itu boleh dikaitkan kepada dua sebab: pertama,
Boas mempunyai cara berfikir seperti seorang saintis; kedua, Boas
sendiri telah menyaksikan bagaimana perubahan budaya yang begitu
cepat telah menghapuskan banyak budaya yang dianggap unik, terutama
sekali di Amerika Utara. Dalam bukunya The Mind of Primitive
Man (1911), Boas berpendapat bahawa antropologi sepatutnya juga
bertindak bagi membela masyarakat peribumi yang diancam oleh perubahan
budaya.
Kotak 2
Alfred Reginald Radcliffe-Brown
(188I-1955), pengasas antropologi British (the British school).
Beliau pernah menjadi pensyarah di beberapa buah universiti, dari
Cape Town hingga ke Chicago, dan telah banyak mempengaruhi penyebaran
dan perkembangan antropologi dalam tempoh di antara Perang Dunia
Pertama dan Perang Dunia Kedua. Radcliffe-Brown sendiri dipengaruhi
oleh teori sosial Durkheim, yang beliau gunakan dan kembangkan dalam
analisis empirisnya, terutama dalam The Andaman Islanders
(1922) dan The Social Organization of Australian Tribes (1931).
Dalam dua buku tersebut dan juga dalam Structure and Function
in Primitive Society (1952), beliau telah memperkenalkan pendekatan
struktural-fungsionalisme dalam antropologi: iaitu doktrin yang
berhubung dengan kesepaduan kemasyarakatan, serta bagaimana institusi
sosial saling bergantung antara satu sama lain bagi menyumbang ke
arah penubuhan masyarakat yang berterusan.
Pandangan saintifik
Radcliffe-Brown diasaskan kepada ilmu sains tulen. Harapan beliau
ialah mewujudkan satu ‘hukum umum berkenaan dengan masyarakat’
(general laws of society) yang setanding, dari segi ketepatannya,
dengan hukum tabii dalam ilmu fizik dan kimia. Cita-cita ini nampaknya
telah diketepikan oleh kebanyakan antropologis — seperti juga
halnya dengan nasib struktur-fungsionalisme tulen. Namun demikian,
sebahagian besar daripada persoalan yang dikemukakan oleh antropologis
pada masa kini, terutama sekali di Eropah, pernah ditimbulkan sebelumnya
oleh Radcliffe-Brown.
0 Komentar